Tuesday, July 03, 2007

Bunga Lampu



Bunga Lampu

Nama botani : Quisqualis indica Linn.


Nama lain : Akar dani, akar suluh


Famili : Combretaceae


Habitat

Pokok ini hidup liar di kawasan lapang dan kadang-kadang ditanam sebagai pokok hiasan.


Ciri morfologi

Bunganya cantik dan menarik. Bunga ini dinamai bunga lampu kerana warnanya yang merah jambu dan bentuknya yang melentok seperti lampu. Pokok bunga lampu jenis saka memanjat tetapi boleh dicantas menjadi renek yang rimbun. Cirinya yang menarik ialah bunganya boleh bertukar warna, iaitu mulanya putih dan kemudian bertukar menjadi merah. Bunganya berjambak di hujung ranting. Daun berbentuk bujur telur. Buah kecil dan runcing, kira-kira 2.5 cm panjang. Dalam keadaan semula jadi, pokok ini membiak daripada biji benih tetapi boleh juga dibiak­kan dengan keratan kayu keras.


Kegunaan dan khasiat

Buah muda, daun dan akar pokok bunga lampu berkhasiat ubatan. Air perahan daunnya dibuat ubat bisul dan ulser. Di Filipina, tumbuhan ini digunakan untuk mengubati batuk, sakit kepala, cirit-birit, demam dan sakit kulit. Daunnya dipupuk di kepala untuk melegakan sakit kepala. Daun dan buah bersifat antelmintik (hanya 4-5 bijinya digunakan) dan berguna untuk mengubati nefritis. Biji yang tua direbus dan dibuat ubat cirit-birit dan demam. Biji yang dihancurkan direndam dalam minyak dan dibuat ubat sapu untuk sakit kulit akibat parasit. Bagaimanapun, penggunaan buah dan biji yang berlebihan boleh memudaratkan. Dos yang tinggi mengakibatkan sedu-sedu dan pitam. Dinding ovari buah dan kulit biji mengakibatkan sedu. Tumbuh­an ini mengandungi
tanin
, saponin, dan kalsium oksalat.