Friday, May 11, 2007

Keduduk



Nama botani : Melastoma malabathricum Linn.

Nama lain : Keduduk

Famili : Melastomaceae



Habitat

Senduduk hidup liar di tepi jalan, di tanah terbiar dan di tepi hutan. Pokok ini mudah hidup dan tahan lasak sehingga dapat hidup di tanah yang kering dan tidak subur.



Ciri morfologi

Pokok senduduk jenis renek, tingginya hanya 1-2 meter dan bercabang banyak. Batang dan rantingnya bersegi-segi, berwarna merah tua dan diselaputi sisik serta bulu kecil. Daun senduduk bujur panjang, runcing di hujung dan pangkal. Ciri unik pada daun senduduk ialah ada tiga urat daun memanjang yang jelas. Panjang daun berbeza-beza, iaitu antara 2.5-10 cm dan lebarnya 1.5-5 cm, iaitu bergantung pada jenis. Permukaan bawah daun berbulu dan kasar.

Bunga senduduk besar dan cantik, lebarnya 4-6 cm, dikeluarkan pada jambak yang pendek di hujung ranting. Kelopak bunga lima, berwarna ungu muda hingga ungu cerah. Salut bunga juga lima, berwarna ungu muda hingga ungu cerah. Salut bunga juga lima, berwarna merah tua. Bilangan stamen 10, lima daripadanya lebih besar dan mempunyai tangkai yang berwarna kuning dan hujung yang melengkuk, manakala yang lima lagi mempunyai hujung yang lurus.

Buah senduduk pada mulanya tertutup oleh cawan kaliks, tetapi apabila masak penutupnya terbuka dan mendedahkan isi yang berwarna ungu gelap. Di dalam isi terdapat biji yang banyak dan halus. Terdapat beberapa jenis senduduk, iaitu yang mempunyai daun yang sederhana dan yang mempunyai daun kecil. Ada juga jenis albino, iaitu mempunyai bunga berwarna putih.

Kegunaan dan khasiat

Daun dan pucuk senduduk digunakan untuk mengubati cirit-birit. Daun yang dihancurkan dipupuk pada luka kecil untuk menghentikan aliran darah dan menyembuhkannya. Daun dan akar yang digiling lumat dipupuk pada kudis dan bekas cacar untuk menghilangkan parutnya. Campuran ini juga dibuat ubat untuk mengubati buasir. Akar senduduk dibuat ubat kumur untuk sakit gigi. Daun senduduk adalah antara ramuan mandi herba untuk ibu-ibu yang baru bersalin. Selain itu, daun senduduk juga berguna untuk merawat leukorea, iaitu penyakit keputihan pada wanita. Untuk rawatan ini, 1-2 genggam daun senduduk direbus bersama dengan gula, halia dan bonglai; air rebusan kemudiannya diminum. Buah senduduk berasa manis dan boleh dimakan.