Thursday, May 10, 2007

Terung pipit





Terung Pipit

Nama botani : Solanum torvum Swartz.

Nama lain : Terung rembang

Famili : Solanaceae


Habitat

Terung pipit mudah ditemui hidup liar di kawasan lapang, di tepi belukar dan di tanah terbiar.

Ciri morfologi

Pokok renek ini hanya 1-2 m tingginya. Cabangnya kecil dan merebak. Ranting dan urat daun berduri. Hampir keseluruhan pokok berbulu halus. Daun besar, 16-30 cm panjang dan 8-14 cm lebar. Bentuk daun bujur, bercuping enam dan pangkalnya tidak sama. Bunga terung pipit kecil dan dikeluarkan pada jambak. Kelopak bunga berwarna putih dan stamennya kuning. Buah terung pipit jenis beri, bulat dan kecil, iaitu kira-kira 1 cm lebarnya. Warnanya hijau dan bertukar kekuningan apabila masak. Buah mengandungi banyak biji halus.


Kegunaan dan khasiat

Buah yang sudah masak berasa manis sedikit tetapi jarang-jarang dimakan. Buah yang matang dimakan sebagai ulam. Rasanya pahit-pahit lemak, berbau unik dan menambah selera makan. Buah ini boleh juga dimasak gulai atau sambal tumis. Buah terung pipit dipercayai dapat menurunkan tekanan darah tinggi. Daun pula digunakan untuk mengubati pitam.