Anggerik Merpati
Nama botani : Dendrobium crumenatum Swartz
Nama lain : Sepulih tulang, anggerik hujan
Famili : Orchidaceae
Dendrobium crumenatum Swartz.
Sepulih tulang, anggerik hujan Orchidaceae
Habitat
Anggerik merpati hidup liar dan paling mudah ditemui hidup di batang pokok sama ada di taman, di kebun dan di hutan.
Ciri morfologi
Tumbuhan ini mempunyai bunga kecil berwarna putih berbelang kuning, dan baunya harum. Bunga yang tidak tahan lama ini kembang serentak selepas mendapat rangsangan, dan akan layu pada hari berikutnya. Penurunan suhu yang cepat disebabkan hujan atau ribut petir ialah rangsangan yang diperlukan supaya bunga boleh kembang. Anggerik merpati mempunyai batang yang membengkak di pangkalnya, lantas membentuk bebawang palsu. Daun terdapat di pertengahan batang. Bunga keluar pada braktea di hujung batang tanpa daun.
Kegunaan dan khasiat
Anggerik merpati tahan lasak dan mudah membiak. Bunganya harum dan sesuai dijadikan tanaman hiasan. Bebawang palsunya dipanggang dan diperah jusnya. Jus yang suam dititikkan ke telinga untuk menyembuhkan sakit telinga disebabkan bisul kecil, atau bengkak kecil di bahagian telinga luar. Daun dijadikan ubat pupuk untuk sakit kepala, jerawat dan bisul.